Isnin, 17 Oktober 2011

CINTA KERANA ALLAH s.w.t

Cinta yang dialirkan oleh Allah s.w.t ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah s.w.t. Ia bersebab kerana cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah s.w.t. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah s.w.t. 

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah s.w.t. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.  

Cinta yang datang dari Allah s.w.t menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah s.w.t, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya. 

Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah s.w.t kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah s.w.t.

Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah s.w.t pada kita. Sehingga Allah s.w.t izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah s.w.t boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah s.w.t mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah s.w.t pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah s.w.t, nescaya kamu tak terhitung.” 

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah s.w.t. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah s.w.t. Cintanya tertumpu pada Allah s.w.t, dan penyerahan diri pada Allah s.w.t sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah s.w.t yang berkata,
Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah s.w.t. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah s.w.t sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mangatakan:  
“jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah s.w.t nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta dengan Allah s.w.t pasti berbalas. Dan Allah s.w.t tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah s.w.t, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah s.w.t yang patut kita letakkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan